Thursday, November 22, 2012

Aku orang Melayu beragama Islam


sumber



Aku ini orang Melayu
yang beragama Islam.


Sejak kecil aku diajar,
diajar untuk menjadi orang Melayu yang beragama Islam.


Aku diajar bercakap dalam bahasa Melayu.
Aku diajar adab-adab orang Melayu.
Aku diajar menghormati golongan tua dalam masyarakat Melayu,
kerana aku belum kenal bangsa lain selain Melayu ketika itu.


Aku dihantar pergi mengaji al-Quran.
Aku dihantar ke kelas fardhu ain.
Aku disuruh untuk bersolat.
Aku disuruh untuk berpuasa.
Aku disuruh untuk membaca buku.


Aku ini orang Melayu
yang beragama Islam.


Aku punyai keluarga.
Aku punyai mak dan ayah.
Aku punyai abang dan kakak.


Aku punyai ibu dan bapa saudara
dari sebelah mak dan ayah.


Pabila aku meningkat dewasa
aku lihat keluarga mereka caca merba.
Aku tak tahu di mana salah dan silapnya.
Mereka juga orang Melayu beragama Islam
sama seperti aku.
Tapi mengapa mereka bergaduh berpecah belah
setelah mereka dewasa?


Aku lihat keluarga mak dan ayah
mereka tidak bersatu.
Masing-masing ingin berlawan,
bercakaran,
bermusuhan,
tidak berperikemanusiaan,
ego,
ingin menjatuhkan antara satu sama lain.
Itu yang aku nampak.


Lupakah mereka bahawa
mereka datang dari pencipta yang sama?
Mereka datang dari rahim yang sama?
Mereka berkongsi orang tua yang sama?


Lupakah mereka bahawa
mereka itu orang Melayu beragama Islam?


Aku punyai keluarga.
Aku punyai mak dan ayah.
Aku punyai abang dan kakak.


Kini semua sudah berubah.
Abang dan kakak sudah menikah.
Masing-masing punyai keluarga sendiri.
Masing-masing punyai anak, isteri dan suami.
Masing-masing punyai hal sendiri.
Masing-masing punyai tanggungjawab dan kehidupan peribadi.


Aku ini anak bongsu.
Orang selalu kata anak bongsu ini manja.
Mungkin ada yang betul dan mungkin juga ada yang salah.
Aku kini meningkat dewasa.
Umurku sudah dua puluh satu tahun.
Nyawaku semakin hari semakin susut.


Aku tuliskan ini
untuk mengingatkan diri
juga untuk adik-beradik yang dikasihi.
Walau masa telah berubah,
walau keluarga semakin bercambah,
walau kamu dan aku membawa haluan masing-masing,
izinkan aku berpesan sesuatu.


Janganlah sesekali kita berprasangka,
janganlah sesekali kita bermusuhan,
janganlah sesekali kita bercakaran,
janganlah sesekali kita berlawanan
janganlah sesekali kita menggadaikan maruah keluarga.


Kerana kita datang dari pencipta yang sama
kita keluar dari rahim yang sama
kita berkongsi orang tua yang sama
kita pernah berteduh di rumah yang sama
kita percaya dan sujud kepada Tuhan yang sama
kita adalah darah yang sama.
Sayangi keluarga kita
yang akrab sediakala.


Idea selepas menonton telemovie 'Parit Jawa'
12.58 am
221112

No comments: